Sakit Buah Pinggang : Kenali Simptom-Simptom Awal
Pada 13-Mac-2008 yang lalu adalah dikenali sebagai Hari Buah Pinggang Sedunia. Artikel kali ini untuk mengenali ‘buah pinggang’ anda.
Proses metabolisma di dalam badan berlaku setiap masa. Melalui proses ini, badan akan menyerap segala nutrien yang diperlukan dan mengeluarkan sisa-sisa / toksin yang tidak diperlukan. Buah pinggang berfungsi untuk membantu mengeluarkan sisa-sisa ini melalui pembuangan air kencing dan peluh yang bertujuan mengimbangkan kandungan air, elektrolit nuklear dan keseimbangan pH dalam badan.
Mengamalkan minum air kosong dengan kuantiti yang banyak (8 gelas) setiap hari sebenarnya dapat membantu badan mengeluarkan sisa-sisa yang dihasilkan daripada proses metabolisma, mengurangkan keracunan dalam badan dan secara tidak langsung dapat menghindari daripada serangan sakit buah pinggang. Kadar proses metabolisma di dalam badan akan meningkat / lebih aktif sekiranya kita sakit / demam, maka semakin bertambahlah bahan-bahan sisa dan racun-racun dalam badan yang perlu dikeluarkan. Oleh itu, disarankan supaya kita banyakkan mengambil air kosong bagi memudahkan proses perkumuhan.
Kebiasaannya, sakit buah pinggang hanya dapat dikesan ketika dalam keadaan yang telah kritikal. Kenapalah ini boleh berlaku? Sebenarnya, terdapat simptom-simptom tertentu yang menunjukkan buah pinggang seseorang itu bermasalah, namun ianya kurang dititikberatkan kerana tiada kesan luar biasa yang berlaku.

















